PULAU PINANG – Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow diumum sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang baharu sekali gus menggantikan Lim Guan Eng yang semalam dilantik sebagai Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pengumuman itu dibuat Guan Eng dalam sidang akhbarnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini yang turut memaklukan majlis angkat sumpah Kon Yeow selaku Ketua Menteri akan dibuat di kediaman Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Sri Mutiara di sini esok.
Sementara itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi dan rakyat di negeri ini atas kepercayaan memberi mandat buat kali ketiga kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk terus memerintah Pulau Pinang.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong menzahirkan terima kasih kepada PH Pulau Pinang kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi Ketua Menteri kelima sekali gus berjanji menunaikan segala yang telah dijanjikan dalam manifesto PH.
“Saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon-calon PH yang menang di DUN dan Parlimen serta tiga calon PH yang tidak berjaya, kita tetap hargai pengorbanan mereka,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng dalam sidang akhbar sama mengakui akan sentiasa ‘merindui’ Pulau Pinang selepas kira-kira 10 tahun menjadi Ketua Menteri.
Katanya, pentadbiran beliau yang menjadikan slogan Cekap, Telus dan Amanah (CAT) sebagai teras telah banyak membawa perubahan di Pulau Pinang.
“Ini kali terakhir saya bercakap di sini. Berat hati hendak meninggalkan Pulau Pinang, tapi saya perlu ke sana (Putrajaya) dengan tugas baharu atas kepercayaan yang diberi,” katanya.
Mengulas pelantikan Kon Yeow bagi menggantikannya, Guan Eng berkata, beliau yakin Kon Yeow serta barisan kepimpinan kerajaan negeri baharu kelak akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Malah, saya juga yakin kerajaan negeri baharu nanti akan dapat melaksanakan sebanyak 68 janji dalam manifesto Pakatan Harapan terhadap rakyat Pulau Pinang,” katanya.- MalaysiaGazette