![pix nordin Datuk Mohamad Nordin Ibrahim telah berkhidmat dalam kerajaan selama lebih 34 tahun apabila mula dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 31 Januari 1984.](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2018/05/pix-nordin-640x810.jpg)
KUALA LUMPUR – Tan Sri Othman Mustapha memaklumkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan tamat pada 16 Mei ini.
Jelas beliau, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah bersetuju dan meluluskan pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim sebagai Ketua Pengarah baharu mulai 17 Mei ini.
Majlis Penyampaian Surat Perlantikan Mohamad Nordin sebagai Ketua Pengarah telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri pada 7 Mei lalu.
“Dengan kredibiliti, pengetahuan dan pengalaman luas beliau (Mohamad Nordin) dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia, ditambah dengan integriti tinggi yang dimiliki, saya yakin dan percaya beliau mampu meneruskan visi dan misi JAKIM untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat di negara ini.
“Pada masa sama, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan yang telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai Ketua Pengarah JAKIM selama lebih tujuh tahun.
“Saya berdoa agar Kerajaan Malaysia khususnya perkhidmatan awam terus cemerlang menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara,” kata Othman dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad Nordin, 58, mendapat pendidikan awal dari Kolej Islam Klang, Selangor.
Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1982 dan Sarjana Pengajian Islam (Tamadun Islam) di universiti sama pada tahun 2000.
Mohamad Nordin juga pernah mengikuti Leadership Programme di University Oxford, United Kingdom pada tahun 2013.
Beliau telah berkhidmat dalam kerajaan selama lebih 34 tahun apabila mula dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 31 Januari 1984.
Beliau turut berpengalaman luas dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam melalui kariernya di pelbagai tempat dan bahagian sepanjang tempoh perkhidmatan dan awatan terakhir beliau ialah sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM. – MalaysiaGazette