KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengumumkan senarai penuh Kabinet baharu pimpinannya esok.
Menurut bekas ahli Pas itu, Mahathir dijangka mengumumkan baki tujuh lagi menteri yang akan menganggotai Kabinet kerajaan yang baru dibentuk Khamis lalu.
“Mungkin esok Perdana Menteri akan umumkan baki menteri dalam Kabinet, untuk melengkapkan senarai sedia ada,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan waktu dan tempat kepada pengumuman itu .
Semalam, Mahathir mengumumkan senarai menteri kanan PH antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu bagai Menteri Pertahanan.
Manakala Kementerian Pendidikan, Pembangunan Luar Bandar, Ekonomi, Kerja Raya, Pengangkutan, Multimedia Sains dan Teknologi serta Kementerian Luar masih menjadi tanda tanya.
Memeranjatkan apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan pengumuman tiga portfolio kanan dalam kerajaan membabitkan jawatan Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan.
Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai pelantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti dalam PH. -MalaysiaGazette