JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (PAN) Johor memaklumkan kenyataan berhubung tiada peruntukan dana kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini yang dinyatakan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian semalam belum muktamad.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, mereka memerlukan masa untuk meneliti jumlah perbelanjaan yang ditinggalkan kerajaan UMNO dan BN sebelum buat keputusan.
“Kenyataan yang diberikan semalam bukanlah suatu kenyataan atau polisi yang telah dimuktamadkan. Berikan kami masa untuk meneliti jumlah perbelanjaan yang ditinggalkan oleh kerajaan UMNO Barisan Nasional yang lalu.
“Kami komited seratus peratus untuk melaksanakan pembahruan dan reformasi yang didambakan seluruh rakyat negeri Johor yang memilih PH dalam pilihan raya yang baru berlalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Aminolhuda, memahami aspirasi Bangsa Johor yang mahu melihat satu perubagan dalam corak pentadbiran demi kebaikan seluruh rakyat Johor sekali gus mengambil maklum keresahan rakyat Johor berhubung kenyataan yang dibuat semalam.
Osman dalam satu sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar semalam memberitahu, tiada peruntukan kecil pembangunan akan diberikan kepada pembangkang di negeri ini kerana ia adalah hak kerajaan yang memerintah.
Tambahnya, semasa UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah pembangkang juga tidak diberikan sebarang peruntukan.
“Jadi, sekarang mereka tidak dapatlah. Kenapa perlu saya beri mereka, ia seolah-olah memberikan mereka ‘bullets so they can shoot back at us’,” katanya. – MalaysiaGazette.
Syed Saddiq tak setuju cadangan MB Johor