KUALA LUMPUR – MIDF Amanah Investment Bank Berhad berkata, beberapa ketidaktentuan akan berlaku dalam jangka pendek di tengah-tengah ketidakpastian politik selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-14.
Hari ini merupakan hari pertama pasaran selepas PRU14 yang menyaksikan berakhirnya penguasaan enam dekad oleh Barisan Nasional.
Walau bagaimanapun, situasi ini boleh dihadkan oleh persepsi pelabur terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketujuh yang mempunyai pengalaman selama 22 tahun memimpin Malaysia sebelum menyertai pembangkang pada tahun 2016.
Dr. Mahathir telah menyatakan beliau akan menumpukan perhatian untuk menangani kebimbangan mengenai ekonomi dan kewangan negeri termasuk mengurangkan hutang kerajaan tetapi tidak akan menurunkan nilai ringgit.
Dalam jangka panjang, MIDF Research menjangkakan bahawa pelabur asing akan kembali ke Malaysia kerana Pakatan Harapan akan menunaikan janji-janji yang dibuat semasa PRU14
Mengulas mengenai prestasi pasaran minggu lalu, firma penyelidikan itu berkata, pelabur-pelabur antarabangsa kekal dalam trend jualan dua hari sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14, minggu lalu.
Pasaran hanya dibuka pada hari Isnin dan Selasa.
Katanya, berdasarkan data awal jumlah pengeluaran oleh pelabur-pelabur asing bagi dua hari dagangan itu mencecah RM504.8 juta, melepasi RM438.4 juta pada minggu sebelumnya.
Berikutan itu, setakat ini, jumlah penurunan aliran masuk kepada RM2.52 bilion.
Walau bagaimanapun, penyertaan institusi asing dan tempatan adalah mantap dengan nilai purata harian dagangan (ADTV) masing-masing berjumlah RM1.22b dan RM2.85b (tertinggi dalam tempoh 10 minggu).
Malaysia juga kekal sebagai penerima manfaat terbesar di kalangan 4 pasaran ASEAN.
Pengaliran keluar pada hari kedua itu berlarutan bagi jualan asing dari minggu lepas hingga lima hari yang paling lama sejak Februari 2018, kata MIDF Research dalam nota penyelidikannya.
Aliran keluar tertinggi adalah pada hari Isnin dengan jumlah RM273.6 juta.
Menjelang PRU14, aktiviti jualan asing merosot sebanyak RM42.4 juta kepada RM231.2 juta, dengan bursa tempatan disokong oleh aktiviti belian dari institusi tempatan yang telah menjadi pembeli bersih selama lima hari berturut-turut. – MalaysiaGazette