Home Politik BN wujudkan pasukan petugas bangkitkan semula parti

BN wujudkan pasukan petugas bangkitkan semula parti

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (duduk, dua kanan) bercakap pada sidang akhbar khas Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2018.
Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (duduk, dua kanan) bercakap pada sidang akhbar khas Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mewujudkan pasukan taskforce (pasukan petugas) yang berperanan untuk membangkitkan semula parti itu sebagai sebuah organisasi politik di negara ini.

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti yang kini di bawah pimpinannya itu turut distrukturkan semula agar terus mengorak langkah pada masa hadapan.

“Kita tidak akan pernah menoleh ke belakang dan kita akan bertindak di dalam kepayahan ini sebagai satu pasukan.

“Kita mahu supaya UMNO terus bangkit dengan rakan (parti komponen) dalam BN,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Zahid menyeru agar kepimpinan di peringkat Bahagian dan negeri agar terus berdiri teguh memperkasakan UMNO.

Katanya, beliau yakin keperitan yang sedang dialami oleh parti itu hanya bersifat sementara dan ujian itu perlu ditempoh dengan kekuatan.

“Kita harus punya daya juang dan daya tahan yang kuat.

“Kita akan menjadi satu pasukan kuat yang baru. Biarpun Pakatan Harapan jadi kerajaan pada hari ini tetapi sebagai suatu parti tunggal kita mempunyai ahli-ahli Parlimen terramai.

“Kita tahu masalah sedang dialami oleh mereka (penentuan anggota Kabinet), kita merasakan bahawa kekuatan UMNO dan BN harus digarap seterusnya bagi memastikan sebarang bentuk kolaborasi akan menentukan bahawa kepentingan UMNO akan terus dijaga.

“Hari ini jika ada pihak mahu meracik-racik UMNO atau mahu lakukan sesuatu terhadap UMNO, kepimpinan parti di semua peringkat akan menentang sebarang usaha ke arah itu kerana UMNO masih mempunyai roh yang kuat biarpun orang itu pernah memimpin kita di luar UMNO,” ujarnya. – MalaysiaGazette