KUALA LUMPUR- Selepas mengalami kejatuhan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, kaunter Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) mencatatkan lonjakan dalam dagangan hari pertama pasca-peralihan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ketika dibuka pagi tadi, saham syarikat peladangan kelapa sawit terbesar negara itu hampir tidak berubah berbanding ketika ditutup sehari sebelum PRU14 pada Rabu lalu.
Saham FGV dibuka pada RM1.59 pagi tadi, menyusut 0.02 sen berbanding RM1.61 sesaham ketika ditutup jam lima petang, Selasa.
Setakat jam, 11.45 pagi tadi, saham FGV melonjak hampir 20 peratus kepada RM1.93 sesaham dengan dagangan tertinggi intraday RM1.95 sesaham.
Isu urustadbir membelenggu syarikat tersebut sejak sekian lama menyebabkan nilai sahamnya semakin merosot meskipun pernah mencatat sejarah sebagai penyenaraian kedua terbesar di dunia selepas Facebook pada 2012 dengan harga pertama ketika didagangkan ketika itu adalah RM5.46 sesaham.
Dalam pada itu, halatuju ekonomi pemerintahan Pakatan Harapan yang masih belum jelas selepas mengambil alih daripada kerajaan terdahulu yang dipimpin Barisan Nasional menyebabkan pasaran mengalami ketidaktentuan pada hari pertama dibuka selepas cuti selama lima hari termasuk cuti hujung minggu.
Bursa Malaysia ditutup selama tiga hari untuk memberi laluan kepada proses pengundian PRU14 dan kerajaan baharu memberikan cuti tambahan sebanyak dua hari pada Khamis dan Jumaat selepas memenangi pilihan raya. – MalaysiaGazette