KLANGÂ – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda tidak akan mencampuri pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor selagi mana ia berjalan dengan baik dan sempurna.
Bagaimanapun titah baginda sekiranya rakyat terabai, alam sekitar tidak dijaga dan pembangunan tidak seimbang, baginda akan menggunakan kuasanya untuk memperbetulkan keadaan.
“Beta akan menggunakan kuasa yang ada pada Beta untuk menegur bagi memperbetulkan pentadbiran Kerajaan Negeri supaya Selangor ini ditadbir dengan baik dan saksama untuk rakyat sekarang dan juga generasi yang akan datang,” titahnya pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini.
Sultan Sharafuddin juga menitahkan rakyat agar menghentikan penyebaran berita-berita palsu dan fitnah-memfitnah supaya perasaan buruk sangka dapat dihapuskan segera.
“Jauhkan diri dari rasuah yang mana gejala rasuah ini akan menjatuhkan maruah dan imej seseorang itu, dan juga boleh merosakkan imej Negeri Selangor ini.
“Rakyat juga amat benci dengan pemimpin yang terlibat gejala rasuah,” titahnya lagi.
Baginda bertitah lagi, wakil rakyat Selangor diingatkan perlu bekerjasama dengan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri agar perjalanan pentadbiran negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna dan efektif.
“Kerjasama ini dapat memastikan segala tindakan yang dilakukan mencapai matlamat dan aspirasi mensejahterakan rakyat,” titahnya lagi.
Dalam pada itu, baginda mahu wakil rakyat yang diberi mandat dalam PRU-14 lalu diingatkan tidak memperdayakan rakyat dan perlu menjalankan tugas dengan berhati-hati serta bertanggungjawab.
“Beta berkenan supaya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) dan wakil rakyat hendaklah bekerjasama serta membantu Menteri Besar dalam mentadbir Selangor ini.
“Exco dan wakil rakyat hendaklah menjalankan tugas-tugas mereka berpandukan kepada peraturan dan undang-undang serta garis pandu ditetapkan.
“Janganlah sekali-kali melanggar undang-undang ini serta melakukan sesuatu untuk kepentingan sendiri,” titahnya.
Sultan Sharafuddin juga menitahkan wakil rakyat agar tidak melupakan kawasan yang dimenangi pada PRU-14 lalu.
“Semasa berkempen Ahli-ahli Yang Berhormat sanggup pergi ke pelusuk rantau untuk meyakinkan rakyat untuk memilih mereka.
“Janganlah selepas dipilih Ahli-ahli Yang Berhormat melupakan kawasan pilihan raya dan langsung tidak meninjau akan nasib rakyat yang memilih mereka.
“Yang Berhormat harus tunaikan janji Yang Berhormat kepada rakyat yang berharap dapat tinggal dalam sebuah negeri yang aman makmur dan tenteram,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette