Home Utama Sultan Selangor dukacita politik punca orang Melayu berpecah

Sultan Selangor dukacita politik punca orang Melayu berpecah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Norashikin diringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli hadir pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Perlantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor 2018 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 14 MEI 2018.

KLANGĀ – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap keadaan orang Melayu yang berpecah-belah disebabkan perbezaan ideologi politik lebih-lebih lagi selepas PRU-14.

Baginda bertitah, orang Melayu dan Islam agar kembali bersatu-padu semula dengan mengenepikan perselisihan faham dan kembali kepada agama dan semangat nasionalisme.

“Beta berasa amat dukacita kerana melihatkan rakyat Melayu telah berpecah belah disebabkan pendapat politik yang berlainan.

“Beta dengan tulus ikhlas berdoa ke hadrat Allah supaya rakyat Melayu Islam dapat bersatu semula demi untuk agama, bangsa dan negara.

“Buang yang keruh dan ambil yang jernih,” titahnya sempena Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.

Titah baginda, rakyat Selangor yang berbilang kaum dan agama perlu menanamkan semangat bekerjasama bagi membina negeri itu untuk generasi akan datang.

“Beta berkenan selepas ini rakyat Selangor akan hidup harmoni, bersatu padu, mengamalkan sikap toleransi, hormat menghormati antara satu dengan lain baik dari segi agama dan adat resam.

“Ia mesti dilakukan supaya Selangor yang kita kasihi ini, aman, dan rakyatnya hidup dengan lebih selesa,” titahnya lagi. – MalaysiaGazette