Home Utama Saya solat hajat di rumah, tak jumpa Anwar

Saya solat hajat di rumah, tak jumpa Anwar

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras malam semalam seperti ditularkan di media sosial.

Pemangku Presiden UMNO itu menegaskan, ketika berita pertemuan itu tersebar, beliau sedang bersolat hajat di rumah.

“Waktu yang didakwa dalam media berkenaan, saya sedang solat hajat di rumah. Ertinya orang itu mungkin berada di kiri atau di kanan saya yang mengetahui bahawa saya berada di suatu tempat yang orang itu sebagai makhluk yang tidak dapat dilihat,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, sebuah laman blog mendakwa Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Anwar di Hospital Rehabilitasi di Cheras pada pukul 11 malam.

Bagaimanapun, blog tersebut hari ini tidak dapat diakses kerana telah disekat.

Sementara itu, Ahmad Zahid pada sidang media yang diadakan oleh Majlis Tertinggi UMNO di sini petang tadi turut menempelak Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang melompat ke Parti Warisan Sabah.

Katanya, BN akan menjadi pembangkang yang kuat kerana masih ada ramai ahli Parlimen yang setia kepada parti itu termasuk majoriti ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak.

“Di Sarawak, alhamdulillah 19 ahli Parlimen kita terus bersama BN. Ahli Parlimen di Sabah juga terus bersama BN, kecuali dari UPKO.

“Kita mula menstrukturkan tindakan untuk mengorak langkah. Kita tidak akan menoleh ke belakang, bertindak dalam kepayahan ini sebagai satu pasukan dan mahu UMNO terus bangkit dengan rakan-rakan dalam BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette