Home Nasional Anwar bebas dari hospital, tidak perlu ke Penjara Sungai Buloh

Anwar bebas dari hospital, tidak perlu ke Penjara Sungai Buloh

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berjalan keluar selepas melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan sepenuhnya dari Hospital Rehabilitasi Cheras tanpa perlu ke Penjara Sungai Buloh semula esok.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya difahamkan proses pembebasan Ketua Umum PKR itu akan bermula dari hospital beliau sedang menerima rawatan fisioterapi setelah pengampunan itu diperakukan oleh Lembaga Pengampunan yang akan bersidang 11 pagi esok.

“Kita difahamkan apabila Lembaga Pengampunan yang rasanya akan bersidang di Istana Negara memperakukan syor pembebasan dan pengampunan penuh kepadanya (Anwar Ibrahim), ia (pembebasan penuh) akan bermula dari sana dan di sini (Hospital Rehabilitasi Cheras).

“Maksudnya bermula disinilah dia akan dibawa keluar, itu yang difahamkan kami,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan hospital tersebut.

Tambah beliau, antara komponen penting laporan pembebasan yang akan disiapkan penjara ialah laporan penuh kesihatan oleh pasukan doktor diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Bahagian Perubatan, Datuk Dr. S. Jayindran.

“Sudah tentu laporan kesihatan itu ada status kesihatan beliau (Anwar). Walaupun (Anwar) masih menjalani rawatan fisioterapi.

“Tadi beliau berehat lima minit untuk menjalani fisioterapi, maksudnya proses rawatan pemulihan masih berjalan dan status sama ada fit untuk keluar itu bergantung kepada laporan pasukan doktor yang bertanggungjawab memantau kesihatan beliau.

“Jangkaan saya (pembebasan Anwar) sekitar tengahari, rasanya sebelum adakan Himpunan di Petaling Jaya,” ujar beliau.

Ditanya andai kata laporan atau keputusan pengampunan itu tidak memihak Anwar seperti yang diharapkan pihaknya, Saifuddin menjelaskan:”Saya optimis positif, tidak mahu membayangkan sebaliknya.

“Betul apa sahaja tidak mustahil, tapi lebih baik kita ambil sikap positif kerana komitmen terbuka telah diberikan oleh Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan pihak istana juga, jadi mari kita berdoa dan harapkan yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette