Home Utama Tuduhan Tony Fernandes berniat jahat – Mavcom

Tuduhan Tony Fernandes berniat jahat – Mavcom

Tony Fernandes

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyangkal tuduhan kononnya meminta AirAsia Berhad (AirAsia) untuk membatalkan semua 120 penerbangan tambahan yang dipohon oleh syarikat penerbangan itu semasa tempoh Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 (PRU14).

Sebaliknya, Mavcom telah meluluskan semua 66 penerbangan tambahan yang telah dikemukakan oleh AirAsia pada 23 April lalu.

Mavcom dalam kenyataan berkata, ia tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan kepada AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan lain untuk mengurangkan atau membatalkan penerbangan yang telah memenuhi keperluan pengawalseliaan.

Lantaran itu, Mavcom berpendapat tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri Tony Fernandes adalah satu perkara yang serius dan telah membuat laporan polis.

Jelas Mavcom, semua permohonan penerbangan tambahan yang diterima olehnya dibuat melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“AirAsia pada 13 April 2018 dan 18 April 2018, telah meminta sebanyak 54 penerbangan tambahan (27 perjalanan pergi balik dengan jumlah maksimum penumpang sebanyak 13,660) yang akan beroperasi semasa PRU14.

“Penerbangan tambahan tersebut telah diluluskan oleh MAVCOM pada 17 April 2018 dan 18 April 2018.

“Pada 20 April 2018 (Jumaat) jam 3.20 petang, AirAsia selanjutnya telah meminta 86 penerbangan tambahan (43 perjalanan pergi balik dengan jumlah penumpang maksimum sebanyak 15,480) yang akan beroperasi semasa PRU14,” kata Mavcom.

Walau bagaimanapun, pada 23 April (Isnin) pada pukul 8.17 pagi, Mavcom telah menerima permohonan penerbangan yang disemak semula oleh AirAsia untuk 66 penerbangan tambahan (33 perjalanan pergi balik dengan jumlah penumpang maksimum sebanyak 12,274) bagi tempoh 6 hingga 13 Mei, bagi menggantikan permohonan awalnya.

Dalam e-mel syarikat penerbangan itu kepada Mavcom, AirAsia meminta permohonannya yang terdahulu diabaikan dan Mavcom telah mengambil maklum permohonan yang disemak semula oleh AirAsia dan meluluskan permohonan itu pada hari yang sama.

Selain daripada AirAsia, setakat 24 April lalu, Mavcom telah meluluskan permohonan penerbangan tambahan oleh syarikat penerbangan tempatan yang lain berjumlah 166 penerbangan (83 perjalanan pergi balik dengan jumlah penumpang maksimum sebanyak 26,434).

Pada 19 April dan 20 April, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Tan Sri Abdullah Ahmad telah berkomunikasi dengan semua syarikat penerbangan untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung sama ada permintaan memadai untuk penerbangan tambahan.

Malah, Mavcom sekali lagi memberi penekanan bahawa ia tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada mana-mana syarikat penerbangan untuk mengurangkan atau membatalkan apa-apa penerbangan.

“Hanya AirAsia membuat keputusan untuk mengurangkan permohonan penerbangan tambahan manakala Firefly, Malaysia Airlines dan Malindo Air mengekalkan permohonan asal mereka.

“Berdasarkan fakta yang dinyatakan, Mavcom berpendapat tuduhan Fernandes bahawa Mavcom memaklumkan AirAsia untuk membatalkan ‘120 penerbangan tambahan yang akan membawa 26,000 penumpang’ adalah tidak berasas dan berniat jahat,” tegas Mavcom.

Jelas agensi itu, ia telah diberi mandat di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) untuk bertindak sebagai pengawal selia bebas hal ekonomi dan komersial berhubung industri penerbangan awam di Malaysia.

Ia bermatlamat adalah untuk mempromosikan industri penerbangan awam yang berdaya maju daripada segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan agar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Suruhanjaya tidak sekali pun menyalahgunakan kuasa yang diberi oleh Akta 771 atau gagal memenuhi matlamatnya dalam perkara ini.

“Mavcom menunaikan kewajipannya dalam tempoh masa yang singkat bagi memudahkan aktiviti syarikat penerbangan untuk tujuan PRU14 yang telah diadakan pada 9 Mei lalu,” katanya sambil menegaskan Mavcom menafikan mana-mana kakitangan AirAsia telah dipanggil dalam masa 24 jam, pada bila-bila masa (antara 17 April-13 Mei 2018) untuk berjumpa dengan suruhanjaya tersebut mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette