Home Nasional Anwar tak simpan dendam terhadap Tun M

Anwar tak simpan dendam terhadap Tun M

Anwar Ibrahim
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tentang kewujudan golongan yang disifatkan sebagai 'super liberal' di negara ini, yang lantang menyuarakan pandangan dan mendesak ia dipenuhi.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketua Umum Pakatan Harapan itu  memberikan sokongan padu kepada kepemimpinan kerajaan baharu yang dipimpin oleh Mahathir.

“Mahathir komited terhadap agenda negara, selain konsisten kepada perubahan.

“Keutamaan saya pada ketika ini adalah kepentingan rakyat dan saya sudah memaafkan beliau (Mahathir),” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media khas di kediamannya di Bukit Segambut, di sini sebaik dibebaskan hari ini.

Beliau juga memberitahu tidak mempunyai isu peribadi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Anwar berkata, pada masa ini beliau memilih untuk meluangkan masa bersama keluarganya tanpa memaklumkan masa untuk beliau kembali aktif dalam arena politik.

Beliau merancang untuk memenuhi segala jemputan dari dalam dan luar negara pada masa terdekat untuk berkongsi kisah perjuangannya selama 20 tahun.

“Dalam masa terdekat berilah saya ruang untuk bersama-sama keluarga namun pada masa sama saya akan memberikan sokongan kepada isteri sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saya ingin menikmati makanan yang sudah agak lama saya tidak merasainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pelantikan dalam Kabinet, Anwar berkata, itu adalah keputusan Perdana Menteri kerana beliau mempunyai kuasa prerogatif.

Bagaimanapun katanya, perlu ada rundingan dalam semua kepimpinan Pakatan Harapan.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyatakan beliau tidak menentang pelaburan dengan kerajaan China namun harus meneliti dan mengkaji segala perjanjian sebelum ini.

Mengulas mengenai pembebasannya daripada penjara, Anwar menghargai khidmat pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia yang memberikan layanan memuaskan sepanjang beliau menjalani hukuman penjara.

“Terima kasih juga kepada Dr Mahathir, kerana mempermudahkan proses ini (pengampunan diraja). Ini sekaligus membersihkan saya dari segala tuduhan sebelum ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette