KUALA LUMPUR – Para penggiat seni mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu memperjuangkan tuntutan hak golongan karyawan yang terpendam sejak 18 tahun lalu.
Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandes berkata, perkara utama yang perlu diberi keutamaan ialah berkenaan isu royalti terhadap artis tanahair.
Katanya, perkara itu sudah sekian lama dinantikan oleh penggiat seni terutama veteran dan satu pertemuan dengan kerajaan untuk berdiskusi mengenai perkara itu perlu diadakan.
“Apakah yang perlu kita lakukan dengan sokongan kerajaan yang baru ini untuk menyelesaikan kemelut-kemelut dan masalah yang dihadapi oleh golongan artis dalam isu ini.
“Dalam industri seni ini banyak perkara yang kita hadapi. Jadi kita mahu mengambil langkah untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul bersama kerajaan baru,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dengan pengamal media hiburan dan penggiat seni di sini hari ini.
Pelakon, Fauziah Nawi bersetuju dengan pandangan tersebut dan mahu kerajaan baru memberi tumpuan terhadap perkara itu.
Menurutnya, penggiat seni sekarang ini sudah tersisih dan banyak hak mereka tidak ditunaikan.
“Saya percaya dengan kerajaan ini, saya sebagai rakyat biasa dan orang seni mahu melihat kehidupan kami lebih baik selepas ini.
“Saya sayu, saya sebak dan kalau benar apa yang
saya dengar hari ini harap ia akan benar-benar terjadi,” ujarnya.
Sementara itu, penggiat seni sastera, Sani Sudin berharap agar kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada PRU lalu dapat menunaikan tanggjawab kepada rakyat dengan seadil-adilnya.
Katanya, beliau tidak kisah siapa pun yang menjadi pemimpin sebaliknya, memerhati cara bagaimana pemimpin yang telah terpilih itu mengatur cara dalam membela rakyat terutama golongan pengiat seni.
Meskipun mengetahui bahawa langkah untuk memperjuangkan isu royalti membabitkan golongan artis memakan masa yang panjang namun, itu adalah hak yang perlu dibangtu untuk diselesaikan oleh kerajaan hari ini.
“Bagi saya bukan kerana parti. Manusia yang ada di dalam (kerajaan) itu kena telus selepas dipilih oleh rakyat.
“Kalau dahulu orang-orang tertentu mengambil kesempatan terhadap orang-orang seperti saya. Tapi, jangan nanti bila nazak baru menyesal,” tegasnya yang merupakan anggota kumpulan Kopratasa. – MalaysiaGazette