Home Politik PH tak terima ahli BN, kata Tun M

PH tak terima ahli BN, kata Tun M

Tun Mahathir dalam sidang media di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya.
Tun Mahathir dalam sidang media di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya.

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima ahli Barisan Nasional (BN) untuk menyertai gabungan itu, kata pengerusinya Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika mendakwa terdapat ahli dari BN yang kalah pada pilihan raya baru-baru ini ingin bersama-sama Pakatan Harapan yang menubuhkan kerajaan sekarang. 

Tambah beliau, pendirian itu seiring dengan penolakan rakyat terhadap parti tersebut dalam masa yang sama enggan gabungan itu disamakan dengan kerajaan sebelum ini. 

“Kegiatan dalam parti-parti PH, ada ramai yang dari parti lawan (BN) yang kalah ingin masuk dalam parti PH, kemasukkan mereka itu tidak boleh diterima majoriti rakyat.

“Kita tidak mahu kerajaan baru nampak seperti kerajaan lama,” kata beliau ketika mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana sebentar tadi. 

Namun Mahathir tidak menghalang apa-apa pendirian yang disuarakan daripada mana-mana ahli parti yang kini menyokong gabungan tersebut. 

“Mereka hanya boleh isytihar keluar dari parti dan secara individu menyatakan sokongan kepada parti kerajaan (PH) tetapi bukan ahli,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Mahathir memaklumkan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan akan ditentukan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan pada Khamis. -MalaysiaGazette