Home Nasional 12 jam polis di rumah Najib

12 jam polis di rumah Najib

Beberapa anggota polis di perkarangan rumah Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil barangan yang akan membantu siasatan berkaitan isu 1MDB di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Sepasukan anggota polis termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman masih berada dalam kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehingga berita ini ditulis, pasukan polis itu sudah berada kira-kira 12 jam di kediaman bekas perdana menteri itu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi telah mengesahkan beliau bersama pasukannya masih melakukan pemeriksaan di seluruh premis tersebut.

“Ya..saya bersama pasukan berada di dalam kediaman beliau (Najib) dan saya tidak boleh mengulas lebih lanjut,” kata beliau secara ringkas sebentar tadi.

Semalam, sebanyak 10 buah kereta dan sebuah trak polis tiba di rumah Najib sekitar pukul 10.15 malam sebelum beberapa kenderaan polis meninggalkan premis dengan beberapa kotak disyaki mengandungi dokumen berprofil tinggi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sepasukan polis itu tiba selepas kira-kira 30 minit Najib pulang daripada menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru di sini.

Peguam Najib mengesahkan pasukan polis sedang memeriksa seluruh premis dan dijangka mengambil barangan peribadi milik Najib dan isterinya. Datin Seri Rosmah Mansor.

Sejak 9 pagi tadi beberapa kenderaan dengan beberapa individu didalam yang tidak ketahui statusnya meninggalkan premis Najib. – MalaysiaGazette

+ posts