Home Utama Gerudi peti besi ganggu puasa Najib sekeluarga

Gerudi peti besi ganggu puasa Najib sekeluarga

Peguambela kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Harpal Singh Grewal (kiri) bercakap kepada para pengamal media selepas rumah bekas perdana menteri itu digeledah sepasukan polis bagi membantu siasatan skandal 1MDB di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MEI 2018.
Peguambela kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Harpal Singh Grewal (kiri) bercakap kepada para pengamal media selepas rumah bekas perdana menteri itu digeledah sepasukan polis bagi membantu siasatan skandal 1MDB di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Serbuan lebih 50 anggota polis dari Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menjejaskan hak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekeluarga berpuasa pada hari pertama Ramadan.

Peguamnya, Datuk Harpal Singh Grewal berkata, tindakan melampau polis yang menggerudi sebuah peti besi yang berkunci sejak dua dekad turut mencabul hak peribadi Najib dan keluarganya.

Katanya, pasukan polis yang hadir di kediaman Najib pada pukul 10 malam semalam yang kemudiannya berpecah kepada beberapa pasukan telah membuka beberapa peti yang mengandungi barang peribadi yang telah dibungkus dan dibawa Najib dari kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.

“Pencarian itu diteruskan sehingga 5 pagi sebelum tiga peti mengandungi barang peribadi termasuk beg tangan dan pakaian yang disusun dan dibungkus kemas dalam kotak turut diambil polis.

“Walaupun polis berkata mereka akan meninggalkan premis selepas membungkus kotak terakhir pada jam 5 pagi, masih ada beberapa polis di luar premis sehingga pagi lagi.

“Kira-kira jam 8.30 pagi beberapa anggota polis bergerak ke sebuah bilik yang terletak di tingkat pertama kediaman dan membuat keputusan untuk menggerudi peti besi keselamatan yang terkunci lebih dua dekad yang mana kuncinya hilang.

“Pengerudian itu diteruskan walaupun waktu melebihi 5 petang, sekali gus menganggu ketenteraman sekeluarga di kediaman itu,” katanya kepada pemberita petang tadi.

Harpal berkata, Ahli Parlimen Pekan itu sangat letih dan kecewa dengan tindakan polis yang mengganggu sekeluarga.

Malah katanya, sepanjang pencarian polis di rumahnya dan penyitaan barang tidak membawa sebarang makna malah kehadiran polis secara berterusan dan pengerudian peti besi itu bukan sahaja ahli keluarga dan kakitangannya tetapi mereka juga mengalami tekanan mental selain membawa imej buruk kepada mereka.

“Lebih-lebih lagi, penyerbuan semasa bulan Ramadan sehingga menafikan hak sekeluarga menunaikan tugas berbuka puasa pada hari pertama Ramadan hari ini.

“Malah penyekatan laluan juga membawa kesulitan kepada jiran-jiran beliau yang menggunakan laluan sama ke kediaman mereka,” jatanya.

Harpal berkata, bekas Perdana Menteri itu telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa sejak awal lagi namun gangguan secara berterusan lebih 18 jam sangat mengecewakan beliau.

“Tiada yang konstruktif ditemui menerusi serbuan dan penyitaan yang akhirnya melibatkan barang peribadi beliau sahaja,” kata Harpal. – MalaysiaGazette