WASHINGTON – Pentadbiran Donald Trump masih berharap pertemuan dengan Korea Utara dapat diteruskan meskipun Korea Utara mengancam untuk membatalkannya.
Jurucakap White House berkata, Presiden Amerika Syarikat sudah pun bersedia untuk pertemuan tersebut.
Beberapa jam sebelum ini, Korea Utara telah mengeluarkan kenyataan yang marah kerana mengatakan ia mungkin menarik diri jika Amerika Syarikat bertegas mahu Pyongyang menyerahkan senjata nuklearnya.
Pertemuan antara Trump dan Kim Jong-un dijadualkan berlangsung kan berlaku pada 12 Jun.
“Presiden sudah bersedia,” kata jurucakap White House, Sarah Sanders sambil menambah jika pertemuan itu tidak berlaku, Amerika Syarikat akan meneruskan tekanan maksimum dalam kempen sekatan yang sedang dijalankan.
Trump pula berkata, Amerika Syarikat tetap mahu menghapuskan senjata nuklear.
Perjanjian untuk pertemuan itu dibuat selepas Korea Utara komited untuk menghapuskan senjata nuklear di Semenanjung Korea.
Dalam kenyataan, Korea Utara berkata, negara itu mempunyai jangkaan tinggi terhadap pertemuan itu tetapi kecewa dengan kenyataan-kenyataan Amerika Syarikat.
“Kami tidak menyembunyikan rasa tidak puas hati terhadapnya,” menurut kenyataanNaib Menteri Luar Negeri, Kim Kye-gwan.
Dalam wawancara baru-baru ini, Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat John Bolton berkata, Korea Utara sepatutnya mencontohi model penghapusan nuklear
Libya.
Tetapi kenyataan itu bagaikan amaran buat Korea Utara. Ini kerana penghapusan nuklear Libya menyaksikan Gaddafi dibunuh oleh pemberontak yang disokong Barat beberapa tahun kemudian. – MalaysiaGazette