Home Nasional 2 bekas menteri temui Najib

2 bekas menteri temui Najib

Kelihatan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berjalan keluar meninggalkan kediaman Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 18 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Susulan serbuan pihak polis di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebanyak empat kenderaan Polis DiRaja Malaysia memasuki premis yang terletak Jalan Langgak Duta, Taman Duta bagi tujuan sama, pagi ini.

Kehadiran pihak polis itu di lokasi itu turut diiringi dua buah unit bermotor pasukan keselamatan kira-kira 9.40 pagi tadi.

Sejam selepas itu, kelihatan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid memasuki kediaman Najib.

Hadir sama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang dilihat mula beredar dari kediaman bekas Perdana Menteri itu kira-kira jam 10.40 pagi tadi.

Usaha menggeledah kediaman Najib bermula sejak malam pertama umat Islam menunaikan ibadat solat tarawih dan bermulanya berpuasa pada Rabu lalu.

Sebelum ini, Najib meluahkan rasa terkilan kerana polis mengambil masa selama 20 jam untuk menggeledah kediamannya hingga mengganggu ibadah puasa pada hari pertama.

Masa lama diambil berikutan kerja-kerja membuka peti besi berusia 20 tahun yang terletak di tingkat pertama rumah banglo berkenaan.

Terdahulu polis mengambil tiga kotak yang berisi barangan seperti pakaian, hadiah dan beg tangan pada hari yang sama. – MalaysiaGazette