
NEW YORK- Harga minyak dunia meningkat lebih AS$80 satu tong buat pertama kalinya sejak November 2014, sebelum ia turun sedikit disebabkan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan pengeluaran minyak AS.
Penyusutan bekalan dari Venezuela, kebimbangan AS bakal mengenakan sekatan ekonomi dan akan mengganggu eksport dari Iran serta berkurangnya inventori global adalah gabungan faktor yang mendorong peningkatan harga hampir 20 peratus pada 2018.
Dolar AS mencecah paras tertinggi dalam empat bulan berbanding yen berikutan pulangan pada penanda aras bon kerajaan mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Pengukuhan dolar AS menjadikan minyak lebih mahal bagi negara pengimport utama seperti di Asia.
Dagangan hadapan Brent mencecah kadar tertinggi harian AS$80.50 setong tetapi kemudiannya turun sedikit untuk ditutup dua sen lebih tinggi pada AS$79.30 satu tong.
West Texas Intermediate (WTI) ditutup tidak berubah pada AS$71.49, selepas mencecah paras tertinggi sejak November 2014 pada AS$72.30 satu tong.
Inventori minyak mentah dan bahanapi global susut ketara beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan permintaan kukuh dan komitmen OPEC mengurangkan pengeluaran. – Agensi