KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding negara-negara jirannya di Asean untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran ketika ini.
Pakar Strategi DBS Group Ltd., Philip Wee dan Joanne Goh dalam nota kepada pelanggannya berkata, sentimen domestik amat positif terutama apabila menerima perkhabaran subsidi minyak akan diperkenalkan semula.
“Di tengah-tengah peningkatan kadar faedah dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat, pasaran saham di Indonesia dan Filipina menyaksikan prestasi terburuk di Asia (tidak termasuk Jepun) berbanding peningkatan sebanyak 3.2 peratus yang dicapai setakat ini oleh Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI).
Seminggu selepas memenangi pilihanraya ke-14, kerajaan baharu Pakatan Harapan mengumumkan penurunan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada kosong peratus berbanding enam peratus ketika ini.
Dalam pada memberikan gambaran positif terhadap ekonomi Malaysia, DBS mengingatkan pelabur mengenai kemeruapan matawang menjelang hujung tahun ini.
DBS turut mengambil maklum mengenai pelantikan Ahli Majlis Penasihat Negara yang terdiri daripada tokoh-tokoh ternama seperti bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hasan Merican yang berikrar untuk mencapai bajet berimbang sebagai sasaran utama kerajaan baharu.
“Sementara menantikan butiran lanjut, peningkatan harga minyak ketika ini dianggap sebagai positif kepada pengeksport minyak bersih meskipun terdapat kebimbangan pertumbuhan tahun ini tidak mampu dicapai melebihi lima peratus,” katanya.-MalaysiaGazette