KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Renggam, Dr. Maszlee Malik dilantik menjadi Menteri Pelajaran baharu dalam senarai Kabinet kerajaan Pakatan Harapan.
Walaupun sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan beliau sendiri memegang portfolio itu namun akhirnya namanya digugurkannya sendiri.
Ini kerana ia bertentangan dengan manifesto PH pada PRU-14 di mana Perdana Menteri tidak dibenarkan memegang sebarang kementerian.
Mengulas mengenainya, Mahathir dipetik sebagai berkata; “Saya suka kalau jadi Menteri Pelajaran tapi apakan daya ia bertentangan dengan manifesto.”
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga seperti diumumkan Mahathir sebelum ini.
Begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.
Satu lagi yang menarik ialah pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan ia memungkinkan beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.-MalaysiaGazette