Home Politik Menteri Pelajaran: DAP setuju, PAN akan bawa berbincang

Menteri Pelajaran: DAP setuju, PAN akan bawa berbincang

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – DAP tidak ada masalah dengan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran, kata Penasihatnya, Lim Kit Siang.

Walaupun ramai pihak termasuk dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan pelantikan itu tidak sesuai, Kit Siang bagaimanapun memberitahu, ia tidak bertentangan dengan semangat manifesto PH.

“Apa yang pasti ialah Perdana Menteri tidak memegang portfolio Kementerian Kewangan. Kementerian lain, selain kewangan beliau boleh pegang,” katanya di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman Dr Mahathir sebagai Menteri Pelajaran, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datin seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memegang portfolio tambahan berkaitan wanita dan kebajikan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub. foto FAREEZ FADZIL, 3 OKTOBER 2017
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub. foto FAREEZ FADZIL, 3 OKTOBER 2017

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahudin Ayub berkata, mereka menyedari perkara itu dan akan bawa berbincang dengan Dr Mahathir.

“Memang dalam manifesto PH ada menyebut perkara itu, iaitu Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutama Menteri Kewangan.

“Kita akan jumpa dengan Dr Mahathir dan cuba ingatkannya mengenai perkara ini,” katanya.

Setakat ini tujuh kementerian telah diumumkan kerajaan PH dengan masing-masing dua portfolio dipegang oleh Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah, manakala tiga kementerian lagi dipegang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri), Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) dan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan).

Lapan kementerian lagi masih kosong dan bakal diisi oleh parti-parti komponen PH iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan formula 2-2-2-2. – MalaysiaGazette