KUALA LUMPUR – Tindakan melayan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti seorang penjenayah tidak wajar sama sekali kerana beliau masih belum pun didapati bersalah.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, setakat ini masih belum ada sebarang pendakwaan terhadap Najib dilakukan namun layanan yang diberikan kepadanya seolah-olah hukuman sudah pun dijatuhkan walhal belum disabitkan sebarang tindakan undang-undang.
“Sekurang-kurangnya keistimewaan itu kena ada, Datuk Najib mahkamah pun tak pernah panggil, tak ada dakwaan, jadi bila tidak ada apa-apa tiba-tiba dah nampak macam dia seorang bersalah.
“Dari persepsi sudah bersalah, saya rasa ini tidak betul lah,” kata beliau semasa ditemui di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta.
Beliau berkata, kedaulatan undang-undang perlu dihormati dan selagi tidak ada sebarang sabitan terhadap Najib orang ramai perlu menghormati jasa bekas perdana menteri itu.
“Semua orang perjuangkan kedaulatan undang-undang, semua orang berjuang, bersalah baharu masuk penjara, tapi hari ini saya tidak nampak lagi satu pendakwaan pun terhadap Datuk Seri Najib.
“Ini bukan zaman reformasi Anwar Ibrahim, beribu-ribu orang berkumpul, nampak macam ini, saya tidak tahu apa motif pihak polis buat macam ini.
“Sepatutnya kena beri keistimewaan beri satu layanan macam rakyat biasa, beliau bukan penjenayah,” katanya.
Terdahulu, lebih 10 kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk trak polis dilihat memasuki kediaman Najib.
Beberapa barang bukti juga dirampas dan dibawa keluar dari rumah bekas perdana menteri itu sejak semalam. – MalaysiaGazette