KUALA LUMPURĀ – Gerakan NGO Selangor menyifatkan layanan pihak polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai lebih teruk daripada penjenayah besar, Botak Chin yang terkenal sekitar zaman 70-an.
Pengerusinya, Nazilah Idris berkata, pihak berkuasa sepatutnya melayani bekas Perdana Menteri itu dengan lebih adil sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.
“Sebagai pemimpin berjasa dengan negara, tidak sepatutnya Datuk Seri Najib menerima layanan sebegini seolah-olah penjenayah besar
“Seingat saya penjenayah Botak Chin pun tidak dilayan sebegini, dalam beberapa hari disoal siasat tanpa henti.
“Tetapi syukur kepada Allah kerana Datuk Seri Najib adalah seorang yang sangat kuat, tabah dan sangat bersemangat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninggalkan kediaman bekas Perdana Menteri itu di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, hari ini.
Nazilah juga merayu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar berlaku adil ke atas Najib sepanjang tempoh siasatan dan penggeledahan dengan menghormati bulan Ramadan.
“Bagi saya seorang warganegara Malaysia mohon dan merayu kepada pimpinan teratas negara sekarang ini untuk berlaku adil.
“Difahamkan kerajaan sekarang adalah Keadilan, biar berlaku adil mengikut undang-undang yang telah ditetapkan selama ini dan jangan biar rakyat meragui undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, walaupun dapat bertemu Najib hanya seketika, namun wajah dan keadaannyan tenang dan sentiasa memberi kerjasama baik dengan semua pihak.
“Suasana dalam rumah sangat selamat dan tenang saya ucap tahniah kepada pihak polis menjalankan tugas dengan begitu profesional dan saya juga sangat terharu.
“Bagi saya kalau seseorang itu bersalah, atau rasa bersalah dan buat salah, mesti dalam keadaan tidak tenang, tetapi Datuk Seri Najib sangat tenang dan memberikan kerjasama dengan semua pihak.
“Saya rasa dia seorang pemimpin yang sangat hebat, dalam banyak-banyak PM, beliau adalah PM Malaysia yang sangat hebat,” katanya. -MalaysiaGazette