Home Utama Sekatan laman sesawang live.undi.info, Sarawak Report ditarik balik

Sekatan laman sesawang live.undi.info, Sarawak Report ditarik balik

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat laman sesawang live.undi.info pada malam mengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan kerana bimbang keputusan-keputusan yang dilaporkan tidak tepat.

Tindakan tersebut dibuat selepas menerima aduan-aduan orang ramai, antara lain mendakwa bahawa keputusan atau maklumat yang dipaparkan dalam laman berkenaan dilihat kurang tepat.

Bagaimanapun selepas meneliti semula kandungan-kandungan yang disiarkan, sekatan ditarik balik memandangkan kriteria-kriteria yang digunakan untuk proses sekatan sebelum ini sudah tidak terpakai dalam situasi semasa.

Malah, katanya, laman sesawang Sarawak Report dan Medium tidak lagi disekat kerana laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah menjadi dokumen terbuka.

MCMC menegaskan, tindakan untuk menyekat mana-mana laman sesawang adalah berpandukan kepada undang-undang negara.

“Sebagai contoh, kandungan yang bersifat lucah, mempunyai unsur mengancam mahupun jelik akan disekat, berdasarkan kepada aduan yang diterima daripada orang ramai. Semuanya ini dibuat demi ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun, sekatan yang dibuat akan diteliti semula dan jika sebab atau kriteria untuk menyekat tidak lagi terpakai sejajar dengan impak dan kesan semasa, maka sekatan tersebut akan ditarik balik. – MalaysiaGazette