Home Nasional Selesaikan isu MH370, keselamatan jalan raya fokus utama Loke

Selesaikan isu MH370, keselamatan jalan raya fokus utama Loke

SEREMBAN, 19 Mei -- Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook yang juga bakal Menteri Pengangkutan yang baharu bersalaman dengan sebahagian daripada pengunjung Tokong Then Sze dan penduduk Kampung Bukit Temiang ketika menziarahi Tokong Then Sze di Temiang hari ini.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN – Pengerusi DAP Negeri Sembilan DAP Anthony Loke Siew Fook terkejut dengan pelantikannya sebagai Menteri Pengangkutan dalam Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Loke yang juga Anggota Parlimen Seremban dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata pelantikan itu adalah satu tanggungjawab besar khususnya dalam menyelesaikan isu melibatkan kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370 dan juga keselamatan jalan raya.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti dan perdana menteri atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai Menteri Pengangkutan. Saya tahu ia adalah tanggungjawab besar bukan hanya untuk pengangkutan darat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tetapi juga penerbangan, maritim, pelabuhan dan sebagainya, tetapi kementerian ini sangat penting untuk membantu pertumbuhan ekonomi.

“Saya juga perlu melihat banyak perkara…banyak isu (seperti) keselamatan jalan raya, daya saing pelabuhan kita dan sudah tentu isu utama bagi kementerian ialah terus mencari kehilangan MH370. Saya harap semasa memegang jawatan ini, kita akan dapat mencapai kesimpulan kepada isu MH370.

“Ini saya fikir sangat penting bukan hanya untuk anggota keluarga tetapi juga industri penerbangan. Saya amat berharap pada bulan-bulan atau tahun-tahun akan datang, kita akan dapat menutup tragedi ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.-BERNAMA