Home Dunia AS dituduh sabotai pilihan raya Venezuela

AS dituduh sabotai pilihan raya Venezuela

Nicolas Maduro. foto Reuters

CARACAS – Venezuela menuduh Amerika Syarikat menggunakan sekatan baru terhadap pegawai tertinggi kerajaannya untuk sabotaj pilihan raya presiden.

Amerika Syarikat telah menyuarakan tekanan terhadap Presiden Nicolas Maduro pada hari Jumaat lalu dengan membuat tuduhan beliau mendapat keuntungan daripada penghantaran dadah haram dan mengenakan sekatan terhadap Diosdado Cabello, yang merupakan pemimpin kedua Parti Sosialis.

Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan terhadap Maduro atas pelanggaran hak asasi manusia dan menyalahkannya bagi krisis ekonomi dan politik semasa Venezuela.

Tetapi pada Jumaat lalu, buat pertama kali Washington mengaitkan secara terbuka Maduro dengan perdagangan dadah.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Maduro memanggil sekatan sebagai “serangan agresif sistematik” oleh pentadbiran Presiden Donald Trump dan mengatakan mereka tidak mempunyai asas undang-undang.

“Tidak menghairankan menjelang pilihan raya, apabila rakyat Venezuela akan keluar untuk mempertahankan demokrasi mereka terhadap pencerobohan imperialis yang mencuba dan menggagalkannya, sekali lagi rejim Amerika Syarikat cuba mensabotaj pilihan raya,” katanya.

Perbendaharaan Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan terhadap Cabello, isterinya, Marleny Josefina Contreras yang mengetuai institut pelancongan negara dan saudaranya, Jose David.

Maduro dijangka berhadapan dengan calon pembangkang Henri Falcon dalam usahannya untuk mempertahankan kedudukannya bagi penggal kedua.

Parti pembangkang Popular Will pula mengulangi seruannya supaya rakyat Venezuela memboikot pemilihan itu.

Bagaimanapun Maduro menegaskan pilihan raya itu dijalankan secara bebas dan menuduh pembangkang memboikot kerana tahu beliau akan menang. – MalaysiaGazette