Home Politik Pemuda UMNO respons kenyataan Najib esok

Pemuda UMNO respons kenyataan Najib esok

Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata pihaknya akan membuat satu kenyataan esok berhubung kenyataan terbaharu bekas Presiden UMNO, Datuk Najib Razak mengenai  Khairy Jamaluddin.

“Kami akan beri komen esok mengenai kenyataan Najib. Walau bagaimanapun kami tetap bersama beliau biarpun Najib tidak lagi memegang jawatan Presiden,” katanya ketika ditemui diperkarangan kediaman Najib hari ini.

Armand yang bersama-sama 15 penyokong BN hadir di perkarangan kediaman Najib untuk bertemu dengan bekas perdana menteri itu.

Namun mereka gagal berbuat demikian kerana Najib sudah pun meninggalkan kediamannya untuk ke Pekan bagi merasmikan mesyuarat UMNO Peringkat bahagian itu petang nanti.

Najib sebelum ini berkata, Khairy Jamaluddin boleh menyuarakan kebimbangannya mengenai kerajaan pimpinannya tanpa perlu takut tindakan balas dikenakan terhadapnya, tetapi Ketua Pemuda Umno itu tidak berbuat demikian.

Mana-mana ahli parti boleh menyuarakan rasa tidak puas hati mereka atau pandangan berbeza melalui saluran dalaman, katanya dalam satu wawancara media hari ini.

Najib berkata, beliau sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka di mana orang bebas menyuarakan komen dan pandangan berbeza kepadanya.

“Saya agak terbuka mengenainya, cuma saya mahu ia dilakukan secara tertutup kerana sebagai anggota kerajaan, kita tidak harus menyerang satu sama lain,” katanya memetik laporan media hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada Channel NewsAsia pada 15 Mei lepas.

Dalam wawancara itu, Khairy dilaporkan berkata: “Tiada sesiapa mahu mengaku kita bermasalah. Apa yang berlaku ialah kita menjadi delusi; kita khayal dalam Kool-Aid sendiri dan hilang pedoman,” sehingga menyebabkan Barisan Nasional hilang kuasa pemerintahan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu,” katanya. – MalaysiaGazette