PULAU PINANG – Semakan dan penyelidikan perlu dilaksanakan sebelum pemansuhan tol Jambatan Pulau Pinang dilaksanakan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini kerana Kerajaan Pakatan Harapan perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap penyata kewangan yang diumumkan sebelum ini sama ada tepat atau sebaliknya.
“”Kita pun kena memberikan pertimbangan penyata-penyata kewangan yang telah diumumkan sama ada ia tepat atau tidak.
“Saya rasa kita kena buat semakan dan penyelidikan yang lebih lanjut lagi, yang mana apa saya lihat nampaknya bukan sepertimana yang telah diura-urakan so kita kena berhati-hati,” katanya di sini hari ini.
Guan Eng menambah, pemansuhan tol Jambatan Pulau Pinang yang dijanjikan Kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya dibuat selepas janji-janji dalam tempoh 100 hari dilaksanakan.
Buat masa ini, tumpuan Kerajaan Pakatan Harapan adalah menunaikan semua janji dalam tempoh 100 hari itu.
Dalam manifesto PRU14 lalu, Pakatan Harapan berjanji mahu memansuhkan tol Jambatan Pulau Pinang jika berjaya menawan Putrajaya.
Pada masa ini, kadar sehala bagi tol Jambatan Pulau Pinang ditetapkan pada RM1.40 bagi penunggang motosikal dan RM7 bagi kereta.
Menurut Guan Eng, keutamaan Kementerian Kewangan ketika ini adalah mendapatkan maklumat kewangan negara bagi memastikan tidak ada sebarang maklumat atau mana-mana fail yang tidak didedahkan.
Mengulas pertindihan tugas Kementerian Kewangan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Guan Eng berkata, kedua-duanya mempunyai peranan berbeza.
“Tumpuan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kepada perkara dasar seperti yang telah dibuat sebelum ini di bawah JPM (Jabatan Perdana Menteri),” ujarnya.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pengumuman barisan Kabinet telah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. – MalaysiaGazette