Home Utama Gani Patail, Abu Kassim ketuai Pasukan Khas Siasatan 1MDB

Gani Patail, Abu Kassim ketuai Pasukan Khas Siasatan 1MDB

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail antara empat nama yang dilantik untuk mengetuai Pasukan Khas Siasatan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Empat yang lain ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Hamid Bador.

Pasukan itu juga bertanggungjawab dalam pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB, kata Pejabat Perdana Menteri.

Pembentukan pasukan khas yang dipersetujui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad itu turut disertai SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

Pasukan Khas ini akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara.

Ia juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan.

“Kerajaan berharap penubuhan Pasukan Khas ini dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan berupaya mengembalikan maruah negara yang telah tercemar selama ini, di samping mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB,” kata Pejabat Perdana Menteri. – MalaysiaGazette