Home Dunia Hotel di Mekah penuh menjelang 10 terakhir Ramadan

Hotel di Mekah penuh menjelang 10 terakhir Ramadan

RIYADH – Hotel-hotel yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram di Mekah telah habis ditempah untuk penginapan 10 malam terakhir Ramadan.

Daripada 162,000 bilik-bilik hotel yang terletak di kawasan itu, 155,000 telah ditempah dengan pembayaran pendahuluan.

Pengarah pemasaran di sebuah hotel di sini, Riza Shalabi berkata, 810 bilik di hotelnya telah habis ditempah.

Menurutnya, kadar setiap bilik bagi 10 Ramadan terakhir adalah antara SR1,950 hingga SR2,5000 termasuk pakej makan berbuka puasa.

Manakala kadar untuk dua bilik berkembar bagi tempoh tersebut naik sehingga SR28,000 termasuk pakej buka puasa.

“Bilik dan suites telah ditempah tiga bulan sebelum bermula Ramadan dan kami memang sudah menjangkakan sejumlah besar ahli-ahli perniagaan dari negara itu dan luar negara datang mengerjakan umrah,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Al-Zahrani yang juga kakitangan sebuah hotel lain berkata, kadar penginapan di hotelnya untuk 10 hari terakhir Ramadan adalah 98 peratus, meningkat berbanding 90 peratus pada tahun lalu.

Kadar yang ditawarkan bagi hotelnya adalah antara SR25,000 hingga SR42,000. – MalaysiaGazette