Home Nasional Kenapa Kulasegaran pakai serban?

Kenapa Kulasegaran pakai serban?

Kulasegaran (tengah) bersama Datuk Dr. Dzulkifley Ahmad dan Salahuddin Ayub semasa mengangkat sumpah menteri Kabinet di Istana Negara di Kuala Lumpur petang tadi.
Kulasegaran (tengah) bersama Datuk Dr. Dzulkifley Ahmad dan Salahuddin Ayub semasa mengangkat sumpah menteri Kabinet di Istana Negara di Kuala Lumpur petang tadi.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Tenaga Manusia di Istana Negara petang tadi menarik perhatian kerana memakai serban seperti kaum Sikh.

Wakil rakyat DAP yang menjadi antara 13 menteri Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Agong, Sultan Sultan Muhammad V.

Ramai terkejut dengan cara berpakaian Kulasegaran yang memilih serban seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Kulasegaran kelihatan aneh kerana beliau jarang dilihat dengan memakai serban sebelum ini dan kemunculan Naib Pengerusi DAP itu dapat dilihat dalam siaran langsung di televisyen.

Difahamkan, bagi komuniti Sikh, serban merupakan satu yang diwajibkan untuk seseorang anak lelaki sejak berusia lima tahun dan Gobind yang tampil dengan serban hari ini bagi menampilkan kebudayaan kaum tersebut walaupun di luar beliau tidak memakainya.

Berbeza dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tampil dengan memakai songkok ketika mengangkat sumpah.

Kulasegaran gagal dihubungi bagi mengulas penampilannya itu hari ini.

Majlis mengangkat sumpah menteri Kabinet di Istana Negara itu berjalan lancar dan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga  Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.- MalaysiaGazette