Home Ekonomi Lonjakan harga minyak imbangi kehilangan hasil GST

Lonjakan harga minyak imbangi kehilangan hasil GST

Shan Saeed

KUALA LUMPUR – Lonjakan harga minyak dunia membantu Kerajaan Pakatan Harapan memacu keseimbangan fiskal ketika berhadapan dengan kehilangan hasil daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mengembalikan semula subsidi minyak.

Pelaksanaan GST sejak 1 April 2015 telah menjana pendapatan negara sebanyak RM42 bilion setahun, akan dihentikan kutipannya mulai 1 Jun ini.

Ketua Ekonomi IQI Global, Shan Saeed berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad bertuah kerana mengambil alih pentadbiran Malaysia ketika harga minyak dunia sedang melonjak.

Harga bahan bakar kini berlegar antara AS$60 hingga AS$87 setong – kenaikan lebih daripada 143 peratus sejak Januari 2016.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa kerajaan boleh mendapat lebih pendapatan sehingga RM300 juta bagi kenaikan AS$1 setiap tong minyak.

Lantaran itu, katanya, Malaysia tidak ada masalah untuk mengekalkan pertumbuhan tanpa GST nanti.

Pelaksanaan sifar peratus dalam Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan subsidi bahan bakar oleh kerajaan akan menyebabkan berlaku deflasi harga, yang bakal mendorong para pengguna berbelanja lebih.

Pendekatan itu dijangka dapat membantu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Shan berpendapat langkah-langkah yang dilaksanakan oleh perdana menteri bertujuan untuk mewujudkan kestabilan harga bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Dengan sifar GST dan pemberian semula subsidi minyak, saya menjangkakan pengguna mempunyai lebihan pendapatan, sekaligus membolehkan mereka berbelanja.

“Seperti kita ketahui perbelanjaan adalah komponen penting dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sama seperti pelaburan, eksport bersih dan perbelanjaan kerajaan.

“Memandangkan perbelanjaan pengguna memberi sumbangan signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara, saya pendapat langkah sifar GST dan pemberian subsidi minyak tidak menimbulkan masalah kepada pentadbiran perdana menteri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Shan menambah, pengukuhan fundamental makro ekonomi Malaysia, keseimbangan fiskal yang baik dan keyakinan tinggi terhadap ekonomi akan terus meningkatkan permintaan, sekaligus memacu pertumbuhan dan pelaburan.

“Dengan adanya Tan Sri Dr Zeti Aziz dan nama-nama besar dalam Majlis Penasihat Kerajaan, saya berpendapat ekonomi Malaysia terus bergerak pada landasan terbaik.

“Nama Zeti begitu besar di peringkat global kerana prestasi dan pencapaiannya, maka saya percaya beliau akan memastikan ekonomi negara berada pada kedudukan dan tahap yang sepatutnya,” ujar Shan.

Mengulas lanjut mengenai unjuran harga minyak, Shan meramalkan harga emas hitam itu akan meningkat kepada tiga digit pada suku ketiga dan suku keempat tahun ini disebabkan faktor risiko geopolitik yang dikhuatiri akan menjejaskan bekalan.

Risiko-risiko itu termasuk pergolakan Palestine-Israel ekoran pembukaan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Baitulmaqdis minggu lalu dan sekatan ke atas Iran selepas perjanjian nuklear tidak dilanjutkan.

Shan berkata, krisis ekonomi yang semakin buruk di Venezuela turut menjejaskan pengeluaran minyak – yang dahulunya menghasilkan 3.3 juta tong sehari berbanding 1.2 juta tong sehari dibimbangi akan menyebabkan pengeluaran minyak semakin berkurangan.

Sedangkan, pada masa sama permintaan untuk minyak terus tinggi dari China, Asia dan Afrika. – MalaysiaGazette