Home Nasional Mohamad Sabu mohon maaf pada hari pertama bertugas

Mohamad Sabu mohon maaf pada hari pertama bertugas

Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Mohamad Sabu memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama 1RAMD ketika hadir memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri Pertahanan yang baharu di Dataran Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MEI 2018
Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Mohamad Sabu memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama 1RAMD ketika hadir memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri Pertahanan yang baharu di Dataran Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Kira-kira empat jam daripada detik melapor diri sebagai Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sudah pun mengemukakan permohonan maaf pada tugasan hari pertamanya.

Katanya, beliau melakukan kesilapan semasa istiadat lintas hormat Panji-Panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1RAMD), pagi tadi.

Istiadat itu berlangsung di Padang Kawad Wisma Pertahanan sempena hari pertama beliau bertugas sebagai Menteri.

“Saya ingin memohon maaf di atas kekhilafan saya kerana tidak berhenti memberikan penghormatan kepada Panji-panji Batalion 1RAMD sewaktu pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama di Kementerian Pertahanan, pagi tadi.

“Saya sedia maklum berkenaan perkara tersebut seperti yang telah ditaklimatkan kepada saya.

“Namun, sebagai manusia biasa kita juga tidak lari dari melakukan kesilapan,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook Mohamad Sabu – Menteri Pertahanan Malaysia, kira-kira jam 1 petang tadi.

Mohamad Sabu berkata, memandangkan hari ini adalah hari pertamanya bertugas di Kementerian Pertahanan, beliau masih dalam proses memahamk aspek protokol ketenteraan.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan cuba akan cuba melakukan yang terbaik selepas ini.

Mohamad Sabu mengangkat sumpah semalam sebagai Menteri Pertahanan selepas pengumuman lantikannya dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazatte