Home Nasional Mahu Malaysia jadi negara paling selamat di dunia

Mahu Malaysia jadi negara paling selamat di dunia

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara paling selamat di dunia seperti yang dikehendaki penduduknya.

Muhyiddin yang memulakan tugas dseawal 9 pagi tadi berkata, kehendak dan keperluan rakyat adalah antara aspirasi utama beliau dan kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita tidak boleh gagal dalam menjalankan tanggungjawab serta janji kita kepada rakyat. Keutamaan kita adalah rakyat, kita telah mendapatkan kepercayaan mereka untuk menang kerana keyakinan mereka kita akan melakukan yang terbaik untuk mereka.

“Rakyat kini lebih celik dan bijak, mereka tahu kehendak mereka. Dan kita di sebelah sini perlu melakukan yang terbaik malah lebih baik dari dulu bagi memastikan segala kehendak dan keinginan mereka tidak seharusnya dipandang remeh.

“Saya pernah bekerja dengan kerajaan terdahulu, saya juga telah banyak menghabiskan masa dengan rakyat untuk mendengar suara mereka selama ini. Antara yang menjadi keutamaan saya ketika ini ialah memastikan segala yang telah dijanjikan kepada mereka dan segala macam impian itu direalisasikan.

“Selain daripada itu, saya juga giat dalam memastikan semua janji PH yang telah dilaungkan oleh kita dalam manifesto kepada rakyat dijadikan kenyataan. Antara yang menjadi agenda utama kita termasuk isu keselamatan dan kestabilan, isu berkaitan minoriti masyarakat India terutamanya isu kewarganegaraan seperti kad pengenalan merah, juga isu keselamatan dan kedaulatan di perairan Sabah dan Sarawak.

“Kita juga sedang lakukan kajian untuk pemansuhan beberapa undang-undang sedia ada seperti  Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara, pemansuhan hukuman gantung mandatori. Juga kita akan lihat isu dadah dan gangsterisme. Semua ini dalam perhatian kita.

“Itu adalah tanggungjawab berat yang dipikul kerana banyak mata sedang memandang dan kita perlu telus dalam memastikan semua ini tertunai kerana kuasa masih di tangan rakyat,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat semua jabatan dan ketua agensi di bawah kementeriannya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mendedahkan dirinya telah menyampaikan kehendak serta aspirasi kerajaan PH kepada semua ketua jabatan dan agensi bagi memastikan mereka meletakkan tanda aras yang tinggi dalam komitmen pelaksanaan tugas.

“Bukan saya kata mereka tidak bagus, sebalikya melipat gandakan segala usaha serta komitmen yang di tunjukkan oleh mereka selama ini. Kita perlu mengikut kehendak rakyat selepas ini.

“Ada banyak perkara yang kita perlu beri perhatian secara khusus dan saya telah minta semua untuk fikir luar kotak pemikiran selepas ini. Kita juga perlu lebih jujur dan berikan kerajaan serta perkhidmatan lebih baik kepada rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette