PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan dipanggil semula Khamis ini bagi menyambung sesi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Najib yang hadir jam 9.40 pagi bagaimanapun berkata beliau hanya memberikan keterangan pada jam 10 pagi.
“Saya nak beritahu bahawa saya telah memberikan keterangan kepada SPRM mengenai isu pada tahun 2015.
“Kenyataan saya hari ini adalah tambahan kepada kenyataan saya pada 2015 dengan sokongan dokumen,” katanya kepada media sebaik selesai memberikan keterangan kepada SPRM hari ini.
Najib dipanggil untuk memberikan keterangan bagi menyelesaikan siasatan terhadap SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mengulas lanjut beliau berterima kasih kepada pegawai SPRM yang mempamerkan sikap profesional dalam membuat siasatan terhadap beliau.
“Saya berterima kasih kepada pasukan yang mengambil keterangan saya dan ia berlandaskan kepada sikap profesional dan akan disambung semula pada hari Khamis,” katanya.
Najib meninggalkan perkarangan SPRM tepat jam 3.13 petang.
Jumaat lalu, SPRM menyerahkan notis meminta Najib hadir untuk memberi keterangan selepas suruhanjaya berkenaan membuka semula siasatan kes aliran wang dari SRC International iaitu anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International. – MalaysiaGazette