Home Ekonomi Nasib CPTPP dan RCEP masih kabur

Nasib CPTPP dan RCEP masih kabur

CPTPP
Gambar arkib: CPTPP

KUALA LUMPUR- Nasib perjanjian-perjanjian seperti Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Kerjasama Trans- Pasifik (CPTPP) yang telah disertai Malaysia masih belum diketahui sehinggalah Menteri Perdagangan dan Industri yang baharu dinamakan.

Menurut Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri J. Jayasiri, kerajaan baharu yang akan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan pakatan tersebut mahu pun tidak.

“Ketika ini kita masih belum mempunyai menteri lagi dan perkara ini sepatutnya disemak oleh menteri kerana untuk proses ratifikasi ia memerlukan sedikit pindaan undang-undang,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Malaysia telah menandatangani CPTPP namun proses ratifikasi masih belum dilakukan dan sekurang-kurangnya enam negara perlu melakukan ratifikasi bagi memastikan pakatan perdagangan tersebut boleh dilaksanakan sepenuhnya.

Bagi RCEP pula, Jayasiri berpendapat, kerajaan baharu menyokong rundingan RCEP.

“Berdasarkan pembacaan saya terhadap manifesto kerajaan Pakatan Harapan, saya yakin kerajaan baharu menyokong rundingan RCEP,” katanya sambil menambah rundingan masih lagi berjalan.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas di antara 10 negara Asean dengan Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.-MalaysiaGazette