PULAU PINANG – Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang akan meminda Perlembagaan negeri hujung tahun ini bagi membolehkan jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada hanya dua penggal.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pindaan itu boleh dibuat tanpa sebarang halangan memandangkan Pakatan Harapan berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti melebihi dua pertiga.
Tambahnya, beliau berharap pindaan itu dapat dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal pertama pada Ogos ini namun mungkin berdepan kesukaran untuk melaksanakannya.
“Jadi pindaan itu mungkin diluluskan pada sidang kedua yang dijangka November depan.
“Saya juga sudah meminta Penasihat Undang-Undang negeri mengkaji serta meneliti klausa atau perkara terbabit sebelum dimasukkan semula ke dalam Perlembagaan negeri untuk tujuan pindaan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada PRU-14, Pakatan Harapan menjadikan had tempoh jawatan Perdana Menteri; Ketua Menteri dan Menteri Besar hanya kepadadua penggal sekiranya mereka berjaya menguasai Putrajaya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu, kerajaan negeri bersedia melakukan perubahan dari segi pengagihan Exconya supaya selari dengan Kerajaan Persekutuan.
Tambahnya, rombakan atau perubahan portfolio dalam kerajaan negeri itu akan diperhalusi kelak memandangkan senarai Kabinet Kerajaan Persekutuan ketika ini juga masih belum lengkap.
Bagaimanapun, tegasnya, beliau masih terikat dengan Perlembagaan negeri yang tidak membenarkan lebih 10 Exco dilantik pada satu-satu masa. – MalaysiaGazette