Home Politik Terima realiti majoriti India tak terima MIC

Terima realiti majoriti India tak terima MIC

Datuk Seri S. Subramaniam

PUTRAJAYA – Parti MIC kini terpaksa menerima realiti ia tidak lagi diterima oleh rakyat terutama kaum India ketika ini.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sendiri mengakui, parti tersebut kini terpaksa melalui cabaran terbesar untuk terus kekal relevan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“MIC dan Barisan Nasional (BN) perlu menerima kenyataan kini kita adalah pembangkang dan perlu menyesuaikan diri dengan perkara tersebut.

“Kita yang dulu mempunyai kuasa dalam kerajaan perlu menerima hakikat, berubah sikap dan belajar menjadi pembangkang.

“Ketika ini, MIC sendiri berdepan dengan cabaran paling besar, adakah parti ini akan terus utuh dan kekal relevan. Kita perlu terus kekal bersatu dan mengukuhkan kedudukan dalam parti ini sendiri.

“Banyak perubahan perlu di bawa ketika ini. Paling mustahak dan penting, pemimpin dalam kalangan kita sendiri, MIC perlu ‘bertahan’ untuk tempoh lima tahun akan datang. Terima kenyataan banyak yang perlu dilakukan untuk mengubah diri.

“Satu cabaran yang sangat besar apabila kita sudah tiada lagi kuasa dalam kerajaan persekutuan mahupun negeri. Kita perlu kekal untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Tambah Subramaniam, beliau sendiri akan ‘turun padang’ selepas ini ke setiap pelusuk tempat dan menemui setiap akar umbi MIC bagi memberi penerangan tentang peranan dan hala tuju parti itu selepas ini.

“Masa jadi kerajaan kita menyampaikan, masa jadi pembangkang untuk lihat penyampaian pihak kerajaan dan menyuarakan secara baik. Jika penyampaian boleh dibuat dengan betul, mungkin kita masih boleh kekal relevan,” ujarnya.

Pada PRU-14, walaupun pada awalnya MIC menjangka kemenangan besar namun hanya berjaya memenangi dua kerusi Parlimen, Tapah dan Cameron Highlands.

Subramaniam sendiri kecundang Parlimen Segamat, Johor kepada calon Pakatan Harapan manakala Datuk Seri SK Devamany yang merupakan Timbalan Presiden MIC juga kalah di Sungai Siput.-MalaysiaGazette