KUALA LUMPUR – Tuah menjadi milik tiga pemain Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) apabila mereka menerima jemputan untuk beraksi dalam kejohanan Bawah 13 tahun di Rome bersama kelab Perancis, Paris Saint Germain (PSG), bulan depan.
Tiga pemain itu adalah Hazriq Haqqim Mohd Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, masing-masing berusia 13 tahun.
Berita gembira itu diumumkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi InstaStory beliau.
Khairy memuat naik surat jemputan daripada PSG terhadap tiga pemain muda itu.
Menerusi surat itu juga, Pengarah Akademi PSG, Jean-Francois PIEN berkata, kos penerbangan ketiga-tiga pemain itu akan ditanggung oleh PPBN.
“Teruja untuk menunggu persetujuan daripada anda,” demikian menurut surat jemputan yang ditulis Francois PIEN.
Pada masa sama, Khairy turut meluahkan rasa bangga di atas berita gembira itu.
“Tiga pemain @nfdpmalaysia dijemput untuk beraksi bersama PSG. Amat bangga dengan mereka!,” katanya. – MalaysiaGazette