Home Nasional Gambar barang rampasan 1MDB di media sosial adalah palsu

Gambar barang rampasan 1MDB di media sosial adalah palsu

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh bercakap pada sidang media mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 MEI 2018
Amar Singh Ishar Singh

KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya pengguna media sosial diberi amaran supaya tidak menular sebarang gambar palsu berkaitan rampasan yang dilakukan polis membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, terdapat beberapa maklumat yang tidak benar yang telah ditular oleh netizens dalam mdia sosial serta akhbar tempatan.

“Semenjak 18 Mei 2018 menerusi geledah dan rampasan yang telah dibuat, spekulasi wujud kononnya terdapat maklumat mengenai gambar rampasan barang berharga, wang tunai, barang kemas, jam tangan dan beg tangan.

“Saya menyangkal segala maklumat dan keterangan yang ditular misalnya pengiraan wang tunai yang dirampas dan jumlah jangkaan barang kemas yang dirampas adalah tidak benar sama sekali dan palsu,” katanya pada sidang media di Jalan Tun Razak di sini.

Justeru katanya, sepanjang proses pencarian dan pemeriksaan yang dilakukan di beberapa lokasi termasuk rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semua pegawai penyiasat yang ditugaskan tidak dibenarkan membawa telefon bimbit kecuali Komender dan Timbalan Komander pasukan siasatan kes berkaitan.

“Hanya dua pegawai tinggi pasukan saya ini dibenar menggunakan telefon bimbit untuk berkomunikasi dengan saya sahaja.

“Tiada sebarang gambar diambil oleh sesiapa semasa pemeriksaan dan menggeledah lima premis tersebut.

“Gambar-gambar hanya diambil oleh jurugambar bertauliah dari D6 (Bahagian Bantuan Teknik) Bukit Aman dan menggunakan kamera polis Diraja Malaysia dan bukan telefon bimbit.

“Maka saya mengingatkan masyarakat di luar sana jangan tularkan gambar-gambar palsu yang boleh mengganggu dan menjejaskan siasatan kami,” kata beliau sambil menegaskan pihak polis hanya akan mengeluarkan kenyataan media apabila selesai pengiraan atau sebarang pemeriksaan ke atas barang-barang kes yang dirampas. – MalaysiaGazette