KUALA LUMPUR- Parti myPPP tidak berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan baharu selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.
Presidennya, Tan Sri M. Kayveas berkata, myPPP masih berpegang kepada pendirian ia adalah parti Bebas setelah meninggalkan Barisan Nasional yang tewas dalam PRU lalu.
“Buat masa ini myPPP tidak berhasrat menyertai PH, kita kini lebih fokus untuk memulih kepimpinan dalam parti ini yang telah mengharungi beberapa masalah dalaman.
“Sejujurnya saya kecewa dengan layanan sepanjang berada dalam gabungan itu (komponen BN). Sebagai parti yang ada pendirian, kami kini parti Bebas,” katanya pada sidang media khas di ibu pejabat parti itu di Kampung Attap di sini.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi myPPP yang pertama bersama 22 orang ahli Majlis Tertinggi parti bagi penggal 2018 hingga 2023 yang selesai dipilih menerusi proses pencalonan pagi tadi.
Proses pemcalonan itu menyaksikan semua pemimpin dipilih tanpa bertanding setelah mengemukakan pencalonan masing-masing.
Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat (PAR), Datuk A. Chandrakumanan kembali semula ke parti itu apabila dipilih menjadi Pengerusi myPPP Wilayah Persekutuan.
“Kita adalah parti Bebas (keluar BN) dan hari ini kita sudah selesaikan pencalonan wakil negeri tanpa masalah.
“Datuk A. Chandrakumanan akan mewakili Wilayah Persekutuan manakala Kamarul Idrus akan mewakili negeri Terengganu dan Harris Mohan sebagai Pengerusi Selangor dan Ketua Pemuda myPPP Selangor (sementara),” katanya pada sidang media pagi ini.
Kayveas berkata, ia adalah sebahagian proses menjelang Perhimpunan Agung myPPP ke-65 pada Ahad ini di ibu negara.
Justeru katanya, parti juga akan mengadakan pemilihan untuk jawatan Ketua Wanita myPPP.
“Saya telah menyelesaikan beberapa masalah yang tercetus dalam parti termasuk yang terbaharu atas niat tidak mahu parti dibelenggu krisis kepimpinan.
“Saya mahu tunjuk ajar kepada sesetengah orang yang tidak mengikut undang-undang bagaimana untuk mengurus tadbir sesebuah parti secara baik,” tegas beliau. – MalaysiaGazette