KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mahu pimpinan tertinggi parti menjelaskan secara terperinci berhubung wang rampasan oleh pihak berkuasa di beberapa rumah melibatkan bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak adalah baki sumbangan dana untuk kempen pilihan raya umum lalu.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata sekiranya benar wang rampasan itu adalah baki sumbangan, penjelasan secara telus dan benar perlu dibuat bagi membuktikan sumber wang tersebut untuk tujuan kempen pilihan raya.
“Jika ini benar, perlu dijelaskan lebih terperinci. Rakyat memerhati. Mulakan proses pembinaan semula UMNO dengan kebenaran dan ketelusan,” kata beliau dalam komen di akaun Twitternya.
Shahril berkata, pimpinan parti perlu menerangkan secara jujur dan tidak lagi menyembunyikan sebarang kebenaran daripada rakyat.
Semalam, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, wang tunai RM120 juta yang dirampas pihak polis dalam operasi di rumah Najib adalah dana dan sumbangan politik.
“Adalah dukacita dimaklumkan bahawa baki sumbangan kempen dan dana parti dirampas oleh pihak polis semasa dalam proses ia dipindahkan kepada kepemimpinan baru UMNO selepas perletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden dan Pengerusi Barisan Nasional.
“Pembiayaan politik dibenarkan di bawah undang-undang kita. Oleh itu, UMNO berusaha untuk memulihkan dana ini dan memohon kepada pihak polis untuk melepaskan dana serta mengembalikannya kepada parti selepas selesai proses dan penyelidikan oleh pihak berkuasa yang relevan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, secara umum Presiden UMNO bertanggungjawab mendapatkan sumber dan menguruskan dana untuk parti, termasuk dana bagi pilihan raya umum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.
Minggu lalu, polis memeriksa beberapa kediaman mewah melibatkan bekas perdana menteri, Najib dan merampas wang tunai dan barangan berjenama lain. – MalaysiaGazette