KUALA LUMPUR – Ramadan tahun ini pasti bermakna buat vokalis Search, Amy apabila beliau bakal bergelar bapa buat kali keenam pada usia 60 tahun.
Amy atau Suhaimi Abdul Rahman memaklumkan isterinya, Norhasniza Hassan, 37, atau Nourish kini sedang hamil 30 hari.
“Isteri aku mengandung sebulan yeahhh! Aku selalu doa bila umur aku 60 tahun nak seorang anak lagi.
Menerusi perkongsian itu, Amy turut berkongsi video Nourish sedang melakukan ujian ultra bunyi kandungan anak mereka di sebuah klinik swasta.
Sebelum itu, Amy turut memuat naik video menunjukkan alat ujian kehamilan bertanda dua garisan merah yang membawa maksud hamil.
Amy dan Nourish yang berkahwin pada 2003 mempunyai tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 14, Sania Samara, 13, dan Qaqa At-Tameemi, 9 tahun.
Amy turut mempunyai dua lagi anak iaitu Nabila Huda, 34, hasil perkahwinan pertama, Faridah Fadzil dan Irisha Myra, 21, perkahwinan ketiganya dengan Roslisa Ahmad.
Menerusi perkahwinan kedua dengan Noorliza Abdul Latiff mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Amy dijangka menyambut kelahiran terbaharu itu pada Januari 2019. Kali terakhir dia mendapat anak kira-kira sembilan tahun lalu.
Penyanyi ini juga sudah mempunyai seorang cucu iaitu Keisha Laila, 7, iaitu anak kepada Nabila.
Selain berita gembira bakal mendapat anak ketika umur 60 tahun, Amy turut mencipta sejarah baharu dalam dirinya apabila berjaya tiba di Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal yang berketinggian 4,130 meter pada usia berkenaan. – MalaysiaGazette