KUALA LUMPUR – Krisis kepemimpinan myPPP yang berpecah kepada dua kem berterusan apabila masing masing mahu mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan.
Kem yang dipimpin pemangku Presidennya, Datuk Seri Maglin D’Cruz hari ini mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Maglin mendakwa beliau kini adalah Presiden parti apabila mendapat sokongan 85 peratus ahli Majlis Tertinggi (MT) dan perwakilan pada perhimpunan yang diadakan itu setelah menemui Pendaftar Pertubuhan dua hari lalu.
Beliau berkata, bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan merupakan Naib Presiden Kanan parti, berdasarkan perlembagaan dan sokongan majoriti ahli MT dan ahli parti itu.
Katanya, pemecatan bekas Presiden, Tan Sri M. Kayveas adalah sah dan mengikut peraturan dan perlembagaan parti.
“Dakwaan kononnya beliau masih menjadi presiden parti dan kami tidak ada sebarang kaitan lagi (dengannya). Kalau dia tidak berpuas hati, terpulang kepada dia untuk bawa isu ini ke mahkamah,” katanya pada sidang media di sini.
Sementara itu, Loga Bala berkata, walaupun Kayveas mendakwa dirinya masih lagi presiden parti sah namun lebih 85 peratus pemimpin MT parti yang dipilih pada 2014 kini tidak bersamanya lagi termasuk majoriti perwakilan seramai 1,250 orang.
“Kami akan sediakan semua dokumentasi berkenaan pelantikan pemimpin serta perhimpunan agung secepat mungkin dan kami ada 60 hari untuk berbuat demikian, minggu depan kami akan serahkan segala keputusan parti, biarlah RoS menyiasat dan menentukan pihak mana benar,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Naib Presiden myPPP, Datuk Simon Sabapathy berkata, pemecatan Kayveas yang telah dibawa ke perhimpunan agung parti itu hari ini telah dipersetujui para delegasi yang hadir.
“Kini hanya satu parti myPPP dan seorang presiden yang sah (Maglin de Cruz) dan satu MT sah yang dipilih pada 2014 dan Kayveas sendiri tahu mengenainya.
“Jadi kami masih bersama BN sebagai parti komponen dan akan terus taat setia bersama untuk bangkit semula demi rakyat jelata,” tegas beliau. – MalaysiaGazette