Home Politik Anwar ajak rakyat pantau tugas kerajaan baharu

Anwar ajak rakyat pantau tugas kerajaan baharu

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Iftar Perdana di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil pendekatan untuk menjadi pemantau kepada kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya selaku rakyat Malaysia harus menjadi ejen pengkritik dan menyeru agar rakyat berbuat perkara yang sama bagi memastikan pihak kerajaan mentadbir negara dalam landasan yang betul.

“Saya cakap kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa saya akan ajak rakyat untuk pantau setiap wakil rakyat termasuk isteri saya, Wan Azizah,” katanya dalam satu ucapan hari ini.

Anwar yang baru mendapat pengampunan diraja berkata, rakyat perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kerajaan baharu ini tidak melakukan kesalahan dalam mentadbir negara.

“Ini tugas kita sekarang bukan untuk mencerca mereka tapi dengan kasih bahawa tanggungjawab ini harus dilaksanakan,” katanya lagi.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Iftar Perdana di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2018.

Beliau hadir menemani Wan Azizah bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Masjid Nurul Hidayah di Kampung Pandan.

Anwar sebelum ini berkata beliau tidak mahu sebarang jawatan dalam kabinet.

Menurutnya, cukuplah isterinya, Wan Azizah yang menerajuinya bersama Mahathir dan barisan kepimpinan yang lain.

Anwar sebelum ini berhadapan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Beliau mendapat pengampunan penuh selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menitah perkenan rayuan pengampunannya dan akhirnya diberi pembebasan serta-merta selepas rayuan pengampunan dibentang dan dipertimbang dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ke-51. -MalaysiaGazette