KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim berkata Barisan Nasional (BN) Perlis terus mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man meletak jawatan bagi menamatkan krisis pelantikan kepimpinan di negeri itu.
Tambah adik kepada bekas Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, perletakan jawatan Azlan adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan kebuntuan itu.
Ujarnya lagi, cara itu berkesan dengan memilih menteri besar dari kalangan lapan orang wakil rakyat selain beliau dan Azlan.
“Kita akan tetap dengan pendirian, tidak akan berganjak selagi Azlan tidak meletakkan jawatan.
“Itu syarat kita, beliau kena letak jawatan, dan saya pun tidak akan jadi menteri besar,” katanya yang dilaporkan Malaysia Decides.
Sebelum ini, Shahidan yang juga Pengerusi BN Perlis, membuat sidang media mempertahankan tindakannya yang mendesak untuk menukar menteri besar sedia ada.
Malah beliau menyifatkan langkah itu bukan satu penderhakaan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Mengulas lanjut, Ismail yang dicalonkan abangnya sebagai menteri besar turut menegaskan tindakan kumpulan wakil rakyat yang setia kepada Shahidan itu bukanlah satu penderhakaan.
“Sebenarnya saya tak derhaka, kita tidak berniat (menderhaka kepada Raja Perlis) hanya seperti saya katakan,” katanya lagi.
Krisis politik yang melanda Perlis memuncak apabila Azlan masih gagal membentuk kerajaan apabila kesemua sembilan ADUN BN tidak hadir dalam upacara mengangkat sumpah jawatan baru-baru ini. -MalaysiaGazette