Home Nasional Cadangan mansuh Akta Antiberita Tidak Benar akan dibentang di Parlimen

Cadangan mansuh Akta Antiberita Tidak Benar akan dibentang di Parlimen

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bercakap pada sidang media selepas membuat Lawatan Kerja ke Wisma Bernama di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 MEI 2018.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bercakap pada sidang media selepas membuat Lawatan Kerja ke Wisma Bernama di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka membentangkan cadangan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 pada sesi persidangan Dewan Rakyat yang bermula 25 Jun Jun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya akan mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara dan pihak-pihak yang berkaitan berhubung perkara tersebut.

Katanya, walaupun berdepan tempoh yang singkat untuk menyiapkan dokumen itu, beliau yakin dokumen berhubung perkara tersebut tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Jelasnya, ini kerana ia bukannya pembentangan undang-undang baru, sebaliknya menarik balik akta.

“Selalunya keseluruhan proses mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.

“Tetapi ini bukan keadaan di mana kita akan pinda dan bentang undang-undang baru. Sebaliknya menarik balik akta,” katanya selepas melakukan lawatan di Wisma Bernama, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga perlu mengkaji beberapa faktor yang membabitkan mereka yang pernah ditahan, disiasat dan dituduh di bawah akta tersebut.

Sementara itu Gobind memberitahu, kementeriannya akan mengemukakan cadangan menyiarkan pelawanan bola sepak Piala Dunia yang akan bermula pada 14 Jun ini secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM). – MalaysiaGazette