Home Nasional GGF2 lapor SPRM dakwa wujud kronisme pemberian tanah Bukit Cherakah

GGF2 lapor SPRM dakwa wujud kronisme pemberian tanah Bukit Cherakah

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Generasi Kedua Kampung Felda Bukit Cherakah (GGF2), Faizal Rahman (empat kiri) bersama anak-anak felda mengemukakan dokumen berkaitan termasuk pelan perancangan tapak bagi membolehkan pihak SPRM memulakan siasatan terhadap empat pihak yang dinamakan dalam laporan yang dihantar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 MEI 2018

PUTRAJAYA – Pertubuhan Gerakan Generasi Kedua Kampung Felda Bukit Cherakah (GGF2) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa wujud amalan kronisme dalam pemberitan hak milik tanah di Felda Bukit Cherakah.

Menurut pengerusinya, Faizal Rahman, semuanya bermula apabila lot tanah seluas 32 ekar itu didapati diagihkan secara tidak seimbang kepada kroni masing-masing sehingga menyebabkan 176 peneroka tidak mendapat hak tanah mereka.

“Kami (GGF2) telah mengemukakan dokumen berkaitan termasuk Pelan Perancangan (tapak) bagi membolehkan pihak SPRM memulakan siasatan terhadap empat pihak yang dinamakan dalam laporan yang dihantar.

“Mereka ialah Ketua Cawangan UMNO Felda Bukit Cherakah, Koperasi Felda Bukit Cherakah, Pegawai Daerah Pejabat Tanah Kuala Selangor dan Ketua Pegawai Daerah Selangor,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Generasi Kedua Kampung Felda Bukit Cherakah (GGF2), Faizal Rahman bercakap kepada media selepas mengemukakan dokumen berkaitan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 MEI 2018

Isu berhubung pemberian hak milik tanah di Felda Bukit Cherakah dibangkitkan pertubuhan itu sejak Februari 2018.

“Tanah ini bekas rancangan Felda di mana dibangunkan menjadi Bandar Puncak Alam tetapi tapak rumah itu masih banyak tanah kosong yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri, namun bermula pada akhir Januari satu notis awam telah ditampal di Felda Bukit Cherakah,” katanya lagi.

Tambah Faizal, ia bermula dengan isu pengagihan lot tanah kepada kroni yang seterusnya membawa kepada penemuan projek pembinaan kondominium di Felda berkenaan.

Malah mereka percaya projek ini sengaja dirahsiakan oleh Pegawai Daerah Kuala Selangor vagi memastikan golongan Felda tidak mengetahui perkara itu. -MalaysiaGazette